1. Apakah syarat kelayakan untuk memohon ke Tingkatan Satu di MTAQDS?
Pelajar-pelajar yang memenuhi syarat-syarat berikut layak memohon ke Tingkatan Satu di MTAQDS:
- Tamat tahun 6 SK/SRK/SRI/SRU atau setaraf dengannya.
- Perempuan yang berumur 13 tahun (pada tahun permohonan).
- Khatam al-Quran dan mampu membaca dengan baik.
- Lulus temuduga Ujian Kemasukan.
- ** Syarat berkaitan keputusan peperiksaan akan dimaklumkan oleh pihak YIK.
2. Bagaimana cara memohon untuk kemasukan ke tingkatan satu MTAQDS?
Permohonan adalah secara online di laman sesawang rasmi YIK; http://yik.edu.my/mohon-maahad-kawalan.3. Bilakah permohonan ke Tingkatan Satu mula dibuka?
Permohonan akan dibuka mengikut ketetapan tarikh yang dikeluarkan oleh pihak Yayasan Islam Kelantan.
4. Adakah boleh memohon untuk tingkatan dua, tiga, empat atau lima?
Tidak boleh. Kami hanya menerima permohonan untuk ke tingkatan satu sahaja.
5. Apakah yang dimaksudkan dengan Ujian Kemasukan dan Temuduga?
Pelajar akan menduduki Ujian Kemasukan dan Temuduga sebagai satu proses pemilihan pelajar ke MTAQDS. Pelajar akan menjalani ujian-ujian berikut:
- Ujian Bertulis (melibatkan subjek jawi, Asas Pendidikan Islam, B. Inggeris, Matematik & Sains)
- Ujian Hafazan Al-Quran (hafazan 10 baris dalam masa sejam)
- Ujian Tilawah Al-Quran
- Ujian Bacaan Jawi
- Ujian Akhlak/Sahsiah
6. Apakah kurikulum yang diamalkan di MTAQDS?
Kurikulum yang diamalkan di MTAQDS ialah integrasi kepada Kurikulum Tahfiz YIK, Kurikulum Arab/Agama (YIK & Maahad Bu’uth Al-Azhar) dan Kurikulum KSSM. Disamping dua modul Kemahiran Asas bagi Masakan dan Jahitan.
7. Adakah pelajar MTAQDS turut sama menduduki peperiksaan awam seperti SPM?
Ya, pelajar MTAQDS akan turut sama menduduki peperiksaan SPM di tingkatan 5. Disamping itu, pelajar MTAQDS akan mengambil peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan.
8. Apakah pelajar layak mengikuti pengajian di mana-mana Universiti Tempatan dan Luar Negara selepas tamat pengajian di MTAQDS?
Pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang baik dalam SPM layak memohon mana-mana universiti dalam dan luar negara mengikut penawaran bidang/kursus yang bersesuaian.
9. Adakah sekolah menawarkan subjek aliran Sains Tulen?
Tidak. Kami menawarkan aliran sastera ikhtisas sahaja.
10. Adakah pelajar boleh mengikuti kedua-dua kursus Kemahiran Asas Jahitan dan Masakan?
Tidak. Pelajar hanya dibenarkan memilih mana-mana satu dari kursus kemahiran yang ditawarkan.
11. Berapakah jumlah masa rasmi bagi subjek Tahfiz Al-Quran dalam sehari?
Pelajar akan mengikuti kelas Tahfiz Al-Quran rasmi selama 4 jam sehari.
12. Berapakah jumlah yuran bagi setiap bulan?
Yuran bulanan ialah RM 350 iaitu merangkumi yuran asrama, yuran makan minum dan yuran kelas vokasional.